Video Cemas Duit Terbang Atas Jalan


JINAN - CHINA. Akibat angin kencang, seorang wanita cemas apabila duitnya diterbangkan angin hingga terpaksa dibantu oleh orang ramai untuk mengutipnya.

Kejadian itu tular di Twitter CGTN yang memaparkan rakaman video berdurasi 48 saat.

Wanita itu sedang menunggu bas untuk pergi ke hospital namun duit bernilai 2,300 yuan (RM1,380) yang berada di dalam begnya terbang di atas jalan raya gara-gara angin kuat.

Rentetan itu, beberapa penunggang motosikal bertindak memberhentikan kenderaan mereka dan turut membantu mengutip wang tersebut.

Wanita yang terlalu bimbang hingga menangis, tidak berdaya untuk mengira semula wang yang dikembalikan oleh orang ramai.

Terdapat seorang lelaki berhati mulia membantu wanita itu mengira duit dan bersyukur ia mencukupi.   - Sinar Harian