SPRM Sah Tahan Zahid Hamidi


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kira-kira jam 3.15 petang tadi.

Zahid ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini berhubung salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

Presiden UMNO itu akan menghadapi beberapa pertuduhan dibawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyan Kuala Lumpur pada Jumaat untuk pertuduhan tersebut.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tepat pada jam 3:03 petang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiba dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih dan berpakaian baju batik.

Barisan peguam Zahid menunggu beliau di lobi SPRM dan mengiringinya ke bilik penyiasatan.