Sempat Cuci... Ingat Nak Pergi Jual.


“SAYA ingatkan suami bawa pulang besi buruk, tetapi sebaik memegang 'besi' itu baru saya sedar ia seperti bom,” kata suri rumah, Nurul Huda Mohd Kamal, 27, dari Kampung Mempelam, Alor Setar.

Menurutnya, dia dan suami kemudian membawa objek itu ke rumah rumah jiran yang juga bekas tentera sebelum diberitahu bahawa objek itu adalah bom.

“Jiran kemudian memberitahu 'besi' itu adalah bom mortar yang masih aktif menyebabkan saya dan suami menggeletar kerana tahu ia boleh meletup bila-bila masa,” katanya.

Nurul Huda berkata, suaminya, Mohd Azmizul Hanafi, 30, menemui bom itu berhampiran kawasan perumahan di Jalan Putra Mergong sebelum membawanya pulang ke rumah mereka di Kampung Mempelam pada 7.45 malam.

Katanya, mereka sempat mencuci bom berkenaan kerana merancang menjual 'besi buruk' itu, namun mula berasa pelik melihat kesan lekuk pada permukaannya.

“Selepas jiran mengesahkan ia adalah bom, saya terus menghubungi polis kira-kira jam 10 malam untuk memaklumkan mengenai suami yang menemui bahan letupan itu.

“Ini adalah kali pertama dalam hidup suami yang mengutip barangan lusuh 'terbawa' pulang bahan berbahaya berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Berikutan kejadian itu, sebahagian penduduk kampung berkenaan gempar selepas diarah keluar dari rumah masing-masing oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Sufuri Din berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 10.13 malam menghantar lapan anggotanya bagi memeriksa kawasan berkenaan.

“Kita turut membantu memasang jaring keselamatan di sekeliling rumah penduduk dan meminta mereka mengosongkan rumah yang terletak dalam radius 300 meter dari jarak bom berada,” katanya.

Difahamkan, anggota Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya mematikan bom berkenaan sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah malam. - Harian Metro