Paskal Kutip RM22 Juta Dalam Masa 18 Hari


FILEM Paskal terus melakar tersendiri apabila filem tersebut berjaya mengaut kutipan RM22 juta dalam tempoh 18 hari tayangan.

Jika diimbau kembali, kebanyakan pembikinan filem berunsur patriotik gagal mendapat tempat di hati penonton sehingga penerbit tidak berani mengambil risiko untuk menghasilkan filem yang membawa masyarakat kepada perasaan jati diri atau kecintaan kepada bangsa dan negara.

Namun berbeza dengan filem Paskal yang dijayakan pelakon hebat seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G, Jasmine Suraya dan ramai lagi, apabila kebanyakan yang pernah menonton mengakui menyaksikan filem ini lebih dari sekali.

Malah filem yang diarahkan oleh Adrian Teh ini juga sudah mula ditayangkan di Singapura sejak tiga hari lalu dan turut mendapat respons positif daripada penonton negara Kota Singa itu.

Paskal yang diinspirasikan dari kisah sepasukan anggota unit elit Pasukan Khas Laut atau PASKAL, yang dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada tahun 2011. - Astro AWANI