Lebih Baik Bina Hospital Dari Bila Jambatan Bengkok - TMJ


TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ismail berpendapat kerajaan perlu meneruskan pembinaan Hospital Pasir Gudang, berbanding meneruskan pembinaan jambatan bengkok.

TMJ menerusi akaun Twitternya membuat kenyataan itu selepas seorang pengikutnya bertanya pendapat mengenai hasrat kerajaan negeri Johor bercadang meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum bersara pada 2003.

“Pada pendapat saya, lebih baik teruskan pembinaan hospital di Pasir Gudang yang kerajaan tangguh sebelum ini dan menambah bajet kesihatan untuk negeri.

"Semua hospital di Johor Bahru termasuk di daerah lain juga memerlukan lebih banyak katil dan peralatan perubatan. Ini hanya pendapat

dari rendah hati saya," titah TMJ.

TMJ turut bersetuju jika Johor mempunyai hab kesihatan dan beliau bersedia turut turut terbabit.

"Matlamatnya bukan hanya untuk menyediakan kemudahan perubatan kelas pertama kepada mereka yang memerlukan tetapi juga untuk membantu melatih dan mendidik rakyat tempatan, selain dilengkapi dengan keperluan farmasi dan pakar kesihatan yang berkelayakan," katanya.

Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menyatakan cadangan untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok.

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah adalah projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

Projek itu dibatalkan 2006 pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. - Harian Metro