'Jumpa Mummy Di Syurga Ya...' - Ibu Afdlin Shauki Meninggal Dunia


IBU pelakon dan pelawak terkenal Datuk Afdlin Shauki telah meninggal dunia kira-kira pukul 5.56 petang semalam.

Menerusi laman sosial Instagramnya, Afdlin memaklumkan ibunya, Fadzilah Jelani menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara selepas beberapa kali menjalani pembedahan pintasan jantung.

"Dukacita dimaklumkan bahawa ibu tersayang kami Puan Fadzilah Jelani telah kembali ke rahmatullah pada hari ini Isnin 15/10/2018, pukul 5.56 petang di IJN, KL.

"Sama-sama kita doakan agar rohnya dirahmati dan ditempatkan dengan golongan orang yang beriman. Jumpa mummy di syurga ya..." tulis Afdlin.

Lebih syahdu apabila Afdlin turut memuat naik sekeping gambar bersama ibunya.

Khabar mendukacitakan itu mendapat titipan doa daripada rakan-rakan artis antaranya Lisa Surihani, Tiara Jacquelina, Harith Iskander, Liyana Jasmay, Daphne Iking, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi.

Sama-sama kita doakan roh ibu Afdlin ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-fatihah.