Isu Tahanan Uighur, Tun Mahathir Tidak Menyedari Ada Bantahan Dari China


Di sebalik bantahan China, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan membebaskan 11 etnik Uighur yang ditahan di negara ini kerana mereka tidak melanggar sebarang undang-undang Malaysia.

"Mereka tidak melakukan apa-apa yang salah di negara ini, jadi mereka dibebaskan," kata Mahathir kepada pemberita di kompleks Parlimen.

Jumaat lalu, dilaporkan pendakwa raya menggugurkan tuduhan terhadap tahanan Uighur itu atas dasar kemanusiaan dan mereka dihantar ke Turki dari Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam reaksi segera, Reutersmelaporkan China membantah keputusan Malaysia dan menggesa supaya semua tahanan tersebut diserahkan ke Beijing.

Bagaimanapun, Mahathir berkata hari ini bahawa beliau tidak menyedari tentang adanya bantahan dari China.

Langkah itu dilihat secara tidak langsung akan mengeruhkan hubungan Malaysia dengan China, terutamanya selepas Mahathir membatalkan projek bernilai lebih AS$20 bilion (RM83 bilion) baru-baru ini. - Malaysiakini