Gagal Bayar Hutang, Empat Kereta Jamal Disita.


SYARIKAT kawalan keselamatan, Anirass Gaya Security Services Sdn Bhd, menyita empat kenderaan milik syarikat penjual kereta import terpakai yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Jamal Md Yunos, di Kuala Lumpur, semalam.

Proses sitaan itu dilakukan selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Shah Alam menerusi surat sita yang dikeluarkan pada 5 Oktober lalu.

Empat kenderaan itu adalah dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish, sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire dan sebuah kenderaan sukan pelbagai guna (SUV) jenis Ssangyong Actyon.

Menurut jurucakap Anirass Gaya Security Services, tindakan itu dilakukan selepas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu gagal untuk melunaskan tunggakan hutang bayaran khidmat kawalan keselamatan yang berjumlah kira-kira RM200,000.

Katanya, tindakan sita itu terpaksa dilakukan selepas semua usaha syarikat untuk menuntut tunggakan hutang itu tidak dipedulikan Jamal.

“Jamal mula berhutang dengan kami pada Januari 2014, syarikat kami membekalkan perkhidmatan kawalan keselamatan untuk premis menjual kereta yang dimiliki Jamal di Jalan Pahang.

“Jumlah asal hutangnya hanyalah kira-kira RM56,000 sahaja, tetapi selepas mengambil kira kos saman dan faedah, ia kini berjumlah kira-kira RM200,000,” katanya kepada pemberita selepas hadir melihat proses sitaan itu, hari ini.

Dia berkata, Jamal kini mempunyai masa selama 14 hari untuk melangsaikan tunggakan hutangnya.

Katanya, jika Jamal gagal membuat bayaran pihaknya akan melelong kereta yang disita. – Harian Metro