Dulu johan Tilawah al-Quran, Kini Menderita...


“AZWAR hanya mampu menangis sambil memegang al-Quran selepas penglihatannya semakin kabur sejak dua minggu lalu, akibat penyakit misteri,” kata Che Anisah Md Saad, ibu kepada Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah.

Che Anisah, 42, berkata, anaknya Muhammad Azwar Mohd Ariff, 11, ketika ini hanya mampu meriba al-Quran sambil membuka helaian kitab suci itu berikutan keadaannya yang semakin lemah.

Katanya, Azwar juga kerap muntah apabila dibacakan ayat ruqyah sebagai usaha merawat penyakit misteri yang menimpanya sejak pulang dari Majlis Tadarus al-Quran Sekolah Peringkat Kebangsaan di Johor pada 29 Julai lalu.

“Azwar juga hanya mampu berdiri pada rakaat pertama ketika solat, rakaat seterusnya dia akan duduk dan dia juga menghadapi masalah untuk sujud kerana sakit belakang, namun dia tetap tidak tinggalkan solat.

“Minggu lalu saya membawanya ke hospital swasta di Sungai Petani bagi membuat pemeriksaan, tetapi doktor mengesahkan dia sihat. Saya juga membawa Azwar menjalani rawatan Islam dan setiap kali ayat al-Quran dibacakan, dia akan muntah dan berasa lega untuk seketika,” katanya.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah lalu, Azwar yang hadir berkerusi roda menjadi antara penerima anugerah yang disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin

Che Anisah yang tinggal di Madrasah Ar Rahmaniah, Seberang Pekan Sik, dan bekerja sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) berkata, Azwar kini tidak lagi mampu ke sekolah berikutan keadaannya yang lemah.

“Kekangan kewangan juga menyukarkan kami membawa Azwar mendapatkan rawatan yang dicadangkan selain pendapatan suami yang bekerja sebagai penoreh getah juga tidak menentu ketika musim hujan ini.

“Saya juga berharap pengamal perubatan di luar sana dapat membantu Azwar agar dia kembali sihat seperti sedia kala untuk terus mempelajari al-Quran dan bercita -cita untuk menjadi johan di peringkat kebangsaan pada tahun depan,”k atanya.

Bagi mereka yang mahu membantu boleh menghubungi bapanya, Mohd Ariff Ismail menerusi nombor telefon 017-5517084 atau menyumbang ke akaun Maybank Che Anisah (152040392473). - Harian Metro