Dua Lelaki Bergaduh Kerana Melamar Seorang Wanita


Babak ini biasa kita lihat dalam drama atau filem. Tetapi, ia benar-benar berlaku dalam dunia realiti melibatkan dua lelaki yang 'bersaing' untuk melamar seorang wanita menjadi isteri.

Salah seorang daripadanya adalah blogger terkenal, Xiao Yi yang mahu bertemu pesaingnya untuk menentukan siapa dapat memenangi hati wanita tersebut.

Dia yang mempunyai 380,000 pengikut di laman perkongsian video, Kuaishou membuat persetujuan untuk melamar gadis dikenali sebagai Xiao Ai itu secara serentak dengan seorang lagi lelaki di kompleks beli belah, Wuyue Square di Shanghai.

Kedua-dua mereka turut membawa sejambak bunga dan melutut di hadapan wanita itu pada masa yang sama.

Yi yang mengenakan sut menjerit 'Xiao Ai, Saya cintakan awak!' menerusi megafon miliknya.

Berang dengan 'usaha' Yi untuk menambat hati Ai, satu pertengkaran telah berlaku antara kedua-dua lelaki tersebut.

Orang ramai yang menyaksikan 'drama' itu terpaksa masuk campur untuk meleraikan mereka.

Difahamkan, insiden pertengkaran itu berlaku selama beberapa minit, namun tidak jelas bagaimana ia berakhir.

Menurut saksi, Ai membuat keputusan tidak menerima lamaran kedua-dua mereka.

Seorang pengguna media sosial yang menyaksikan video itu menghantar komen, 'Ini sangat romantik. Saya seperti tidak percaya. Mereka bergaduh'. - Astro AWANI