4 Gambar: Tiga Beradik Sepakat Sarung Kembali Baju Kahwin Mak Ayah


BAGI memenuhi hasrat nenek tersayang, tiga beradik sepakat pakai kembali baju kahwin ibu dan bapa mereka.

Perkara itu dikongsikan seorang usahawan kosmetik, dari Jengka Pahang, Nor Farini Zulkefly, 31 tahun, dilaman Facebook miliknya baru-baru ini dan turut dikongsi ramai.

Katanya, permintaan neneknya yang berusia 86 tahun, Azizah Abu untuk melihat mereka memakai kembali pakaian pengantin ibu mereka, Sharifah Jamilah Syed Hamzah, 57 tahun, dan bapanya Zulkefly Omar, 57 tahun, yang berkahwin pada 24 November 1985 ditunaikan.

Namun sebelum itu, ibu saudaranya, iaitu kakak kepada ayahnya Norazimah Omar, 69 tahun, terlebih dahulu memakai pakaian tersebut pada 22 Julai 1974 pada perkahwinannya.

"Nenek kami sekarang berusia 86 tahun, kalau boleh nak tengok cucu-cucunya pakai kembali baju pengantin yang ibu kami pernah pakai dulu.

"Memandangkan baju itu masih elok, jadi bermula di majlis persandingan saya pada tahun 2007, diikuti oleh adik perempuan dan lelaki saya pada tahun 2015 dan terbaru September 2018," kata Farini yang telah berkahwin dengan Mohd Afandi Anuwar pada 17 Februari 2007.

Manakala adiknya, Norfarahanum Zulkefly, 29 tahun, dan pasangannya Hafizan Sulaiman, 30 tahun, pada 6 November 2015 dan Mohd Farezz Zulkefly, 26 tahun, dan pasangannya Zalika Adnan, 24 tahun, berkahwin pada 8 September 2018 pula.

Sharifah Jamilah Syed Hamzah, dan Zulkefly Omar, berkahwin pada 24 November 1985.

Apa yang dilakukan itu ternyata menggembirakan kedua ibu dan ayahnya tatkala melihat anak-anak menyarung kembali busana kahwin songket lama yang penuh memori itu.

Ceritanya, walaupun telah berusia 44 tahun, tetapi baju kahwin masih dalam keadaan elok kerana dijaga dengan baik oleh ayahnya yang sememangnya yang sangat teliti. Malah pakaian tersebut juga turut dipakai sepupunya.

"Siapa kenal ayah memang tahu dia jenis cermat orangnya. Malah orang sekeliling semua tahu perangai ayah yang memang seorang yang sangat cermat. Malah banyak barangan kami ketika bayi ada tersimpan dengan baik sehingga hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Farini berkata, dia ada mengubah suai baju kahwin ibunya untuk memastikan ia muat dipakai oleh mereka adik-beradik.

"Asalnya baju kurung tapi kami jadikan baju ibu menjadi kebaya. Memang agak rumit sebab perlu diubahsuai tetapi kekal menggunakan kain yang sama.

"Kalau ada rezeki kami juga mahu baju kahwin turun temurun ini dipakai oleh adik bongsu kami Nor Fazlyn Zulkefly, 19 tahun (belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM Perak) dan juga anak-anak kami pula," katanya.