4 Gambar Suspek Langgar Lari Amirah Direman


EMPAT suspek kes langgar lari hingga menyebabkan kematian di Shaftsbury Square, Cyberjaya direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Alpha Dragam di Mahkamah Sepang, hari ini.

Terdahulu, empat suspek terbabit iaitu seorang lelaki Yemen berusia 22 tahun, dua lelaki Libya berusia 24 dan 20 tahun serta seorang wanita berasal dari Sabah berusia 32 tahun tiba pada 9.30 pagi.


Penahanan mereka dibuat kira-kira 12 tengah malam tadi membabitkan suspek warga Yemen di Persiaran Putra Permai Selesa, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.

Seterusnya tangkapan lanjut dibuat di Symphony Hills Cyberjaya membabitkan dua warga Libya dan seorang wanita.

Berikutan itu, kereta Hyundai berwarna perak yang disyaki terbabit dengan kes berkenaan turut dirampas.

Semua tangkapan membabitkan penuntut di universiti antarabangsa di Cyberjaya dan seorang daripada lelaki yang ditangkap mengaku memandu kenderaan Hyundai itu ketika kemalangan.

Penolong pengurus syarikat telekomunikasi di Cyberjaya, Wan Amirah Wan Alias, 31, yang parah dirempuh dan diseret kereta di hadapan bangunan kedai Shaftbury Cyberjaya, kelmarin meninggal dunia di Hospital Putrajaya, 4 pagi semalam.

Mangsa dirempuh kereta Hyundai bernombor pendaftaran BHS 7999 sebelum pemandunya melarikan diri.

Video kejadian itu menjadi tular di media sosial yang mendapat kecaman netizen berikutan suspek memandu dalam keadaan berbahaya.

Kereta suspek turut merempuh sebuah kereta Proton, Toyota Avanza, Perodua Myvi dan Honda City di lokasi sama sebelum melarikan diri.

Susulan itu pihak polis berusaha mengesan pemilik dan pemandu kereta dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Harian Metro