Video Perniaga Bergaduh Dengan MPK Polis Tahan Dua Lelaki.



Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan membabitkan peniaga dan sekumpulan penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) di bazar Aidilfitri, Jalan Taiping, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mazelan Paijan berkata dua lelaki yang masing-masing berumur 18 dan 41 tahun itu ditahan di perkarangan Balai Polis Sungai Kapar Indah ketika memberikan keterangan berhubung kejadian itu kira-kira 5 pagi tadi.

"Kejadian bermula apabila seorang pegawai penguat kuasa MPK bersama pasukannya telah menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan di sekitar lokasi bazar tersebut.

"Ketika pengadu (anggota MPK) meminta mereka menunjukkan lesen perniagaan, kedua-dua suspek gagal mengemukakan lesen seperti yang diminta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu Mazelan berkata anggota MPK tersebut dan pasukannnya bertindak menyita balang minuman di gerai itu namun dihalang suspek sehinggalah berlaku pertengkaran mulut dan pergaduhan.

Menurutnya, akibat pergaduhan itu, seorang daripada anggota penguat kuasa MPK mendapat kecederaan di muka.

“Siasatan awal turut menunjukkan gerai suspek pernah diambil tindakan sitaan, Ahad lepas kerana kesalahan yang sama. Pihak MPK juga pernah memberi amaran sebelum ini, namun kedua suspek itu berdegil dan terus menjalankan perniagaan tanpa lesen," katanya.

Tambah Mazelan, kedua lelaki itu kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam. - Bernama