Video Lelaki Terjun Tingkat 2 Elak Tindakan Mahkamah.


AMERIKA SYARIKAT: Semata-mata mahu mengelak tindakan mahkamah, seorang lelaki tertuduh membuat tindakan mengejut apabila melarikan diri dari bilik mahkamah sebelum terjatuh dari tingkat dua bangunan berkenaan ke aras bawah.

Rakaman kamera keselamatan di mahkamah di Spanish Fork itu menunjukkan Christopher Clay Rudd, 35, berdiri sebelum berlari ke arah pintu dalam keadaan bergari dan melambungkan badannya menerusi palang menyebabkannya terhempas ke tingkat bawah.

Seorang pegawai mahkamah cuba menghalangnya terjun dari balkoni berkenaan dengan dua orang lagi cuba menyambutnya di tingkat bawah, namun tidak sempat.

Sejurus selepas terjatuh ke lantai, Rudd menggerenyet kesakitan ketika cuba dibantu pegawai mahkamah.

Tertuduh dilaporkan ditahan 26 April lalu kerana mencuri, memiliki senjata berbahaya dan tuduhan dadah. Dia dibicarakan Isnin lalu selepas gagal menghadiri pemulihan seperti diarahkan oleh mahkamah.

Sementara itu, jurucakap mahkamah Geoffrey Fattah berkata, Rudd mengalami patah di kaki, tulang punggung dan retak di tengkorak.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada dia sengaja mencederakan dirinya, kata jurucakap polis Matt Johnson.

Dia boleh berdepan tuduhan tambahan kerana cuba melarikan diri. - Editor: Najiha