Video: Bekas Peguam Negara Masuk Pejabat Peguam Negara Timbul Tanda Tanya????


PUTRAJAYA: Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membuat kemunculan di bangunan pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di sini, hari ini, kira-kira jam 8:30 pagi.

Ia menimbulkan persoalan tentang status jawatannya selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan pada Sabtu, Malaysia tidak mempunyai peguam negara buat masa ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir telah meletakkan sekatan tertentu ke atas beberapa orang yang mungkin terlibat dalam salah laku, khususnya berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, mereka termasuk Mohamed Apandi yang akan disiasat kerana mungkin membuat keputusan yang salah semasa berada dalam kerajaan sebelum ini.

"Buat masa ini, kita tak ada peguam negara. Kira sedang menimbang beberapa nama tetapi kita perlu mengkaji kesesuaian calon-calon itu," kata Dr Mahathir ketika itu.

Dr Mahathir juga telah mengarahkan pihak polis untuk mendeklasifikasikan laporan audit 1MDB daripada Akta Rahsia Rasmi 1972.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Bernama pada Sabtu, Mohamed Apandi enggan mengulas kenyataan Dr Mahathir itu, menyatakan: "Adalah lebih baik saya tidak komen. Terima kasih." - Astro AWANI