Tun Dr Mahathir Tak Akan Terima Umno.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan menerima penyertaan mahupun kerjasama daripada Umno.

"Umno tidak boleh ada dalam HARAPAN, kerana (Umno) belum tentu sama ada sah atau tidak," katanya dalam sidang media semalam.

Pengerusi HARAPAN itu berkata, terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan status kesahan Umno, dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk memutuskan status pendaftarannya.

Pada 20 April lalu, sejumlah 16 individu - ketika itu masih anggota Umno - memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan ROS membenarkan parti itu menangguhkan pemilihan partinya.

Mereka juga memohon mahkamah mengarahkan ROS untuk mengeluarkan notis di bawah Seksyen 14 (2) dan 14 (5) di bawah Akta Pertubuhan bagi notis pembubaran sementara dan pembubaran muktamad.

Mereka berkata hari terakhir untuk cawangan Umno mengadakan pemilihan adalah pada 28 Februari lalu, manakala bagi Majlis Tertinggi dan 191 Bahagian parti itu pada 19 April lalu.

Sementara itu, Mahathir juga berkata semua dasar lama pentadbiran Datuk Seri Najib Razak akan disemak semula.

Ia termasuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan National Blue Ocean Shift (NBOS).

Dalam respons segeranya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak membuat keputusan berdasarkan perbezaan politik. - Malaysiakini

Disclaimer: Gambar, artikel ataupun video yang ada di web ini terkadang berasal dari berbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika ada masalah terkait hal ini, Anda dapat menghubungi kami disini.
Related Posts
Disqus Comments