Tun Dr Mahathir Panggil Orang Lama Masuk SPRM Semula? Kerana Dibuang Pertahan Kebenaran.


SIAPA yang akan menjadi kepercayaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dilantik sebagai Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)?

Persoalan ini pasti terjawab pagi nanti apabila Mahathir akan mengumumkan nama siapa yang akan menduduki kerusi panas ini.

Masakan tidak, sehari selepas angkat sumpah selaku perdana menteri, Mahathir terus mengumumkan akan melakukan tindakan drastik terhadap tiga jawatan utama negara.

Selain SPRM diketuai Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, antara dalam radar perdana menteri berusia 93 tahun itu adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Peguam Negara (AG).

SPR dipengerusikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, manakala AG, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Desas-desus ini menjadi lebih panas apabila Dzulkifli melepaskan jawatannya pagi semalam selepas menghantar surat kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Dzulkifli akan kembali ke Jabatan Peguam Negara, penempatan asal sebelum dipanggil berkhidmat di SPRM.

Dalam sidang media semalam, Mahathir berkata beliau sendiri telah menemui beberapa individu bakal dicalonkan bagi jawatan itu.

"Saya akan umumkannya pagi esok," katanya.

Penulis difahamkan terdapat empat nama telah disenarai pendek Mahathir, tiga daripadanya dikatakan telah berjumpa perdana menteri hari ini.

Manakala bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed juga dikatakan disenarai pendek.

Ini kerana nama Abu Kassim pernah disebut perdana menteri dan akan dipanggil berjumpa dengannya pada Khamis ini kerana kini berada di luar negara.

Mahathir lebih selesa dengan mereka yang pernah menyiasat kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International yang meminjam wang dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) untuk mengendalikan agensi anti rasuah negara itu.

Ketika itu krisis 1MDB berlaku, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Siasatan SPRM adalah Datuk Seri Mustafar Ali.

Mustafar kini diangkat menjadi Ketua Pengarah Imigresen ketika era pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak

Seorang lagi dianggap penting dalam penyiasatan ini adalah Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin.

Adakah mereka sesuai dikembalikan mengetuai SPRM yang satu ketika dahulu ada antara merwka dikeluarkan dengan cara terhormat kerana 'bersungguh-sungguh' menyiasat skandal 1MDB.

Tidak mustahil untuk dikembalikan kerana Abu Kassim masih lagi penjawat awam kerana beliau ditukarkan sebagai tenaga pakar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau masih lagi dikatakan mempunyai kad kuasa SPRM.

Mustafar masih lagi penjawat awam seperti Abu Kassim, cuma Shukri dan Bahri telah bersara awal.

Bagaimanapun jika Mahathir mahu khidmat mereka semula, ia bukan halangan, mereka boleh diserapkan sebagai kakitangan kontrak.

Sebagaimana AG penjawat awam lantikan kontrak dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad pula dilantik semula selepas bersara dengan jawatan terakhir ketua setiausaha kementerian pendidikan.

Jadi siapa akhirnya akan menjadi pilihan Mahathir, adakah orang lama ini akan dikembalikan semula ke SPRM?

Ketika penulis menghubungi sahabat lama di SPRM, mereka tidak sabar jika persoalan ini benar.

Orang lama dikembalikan, nantikan kegemilangan SPRM!. - Sinar Harian