Saya Masik Ketua Menteri Sabah Yang Sah - Musa Aman


Tan Sri Musa Aman mendakwa bahawa beliau masih ketua menteri Sabah yang sah dan masih belum meletakkan jawatan.

Setiausaha Akhbarnya Afeiza Khan dalam kenyataan satu perenggan berkata : “Harap maklum bahawa tiada yang berubah. YAB Tan Sri Musa Haji Aman tidak meletakkan jawatan. Beliau masih Ketua Menteri yang sah”.

Bagaimanapun tiada sebarang penjelasan diberikan mengenai isu itu.

Musa, yang merupakan pengerusi perhubungan BN Sabah, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah pada 10 Mei malam setelah parti itu mendakwa memperolehi majoriti mudah dengan memperolehi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang memperolehi dua kerusi bergabung dengan BN

Semalam Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-15 di Istana Negeri di sini dan sekali gus menggantikan kerajaan gabungan BN dan Star selepas hilang majoriti mudah.

Mohd Shafie dilantik Ketua Menteri selepas memperolehi majoriti mudah 35 kerusi yang dimenangi Parti Warisan bersama sekutunya dalam Pakatan Harapan, PKR dan DAP serta enam ADUN dari BN iaitu empat dari Umno dan dari UPKO yang berpaling tadah kepada parti Warisan.- Bernama