Polis Akan Siasat Dakwaan Uqasha Senrose Dianiaya.


KUALA LUMPUR - Polis akan siasata dakwaan Uqasha Senrose yang mendakwa dirinya disabotaj dan polis juga tetap menjalankan siasatan terhadap Uqasha yang ditahan semalam kerana disyaki memiliki 53 biji pil dipercayai Erimin 5.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Roslan Khalid pihaknya kini menyiasat sama ada pil berbalut kerajang aluminium (aluminium foil) yang ditemui dalam beg tangan wanita itu adalah dadah atau sebaliknya.

Katanya, selepas selesai proses itu, barulah siasatan akan menjurus kepada bagaimana dadah itu berada dalam simpanannya.

"Susulan penemuan bahan itu bersama pelakon terbabit, kita perlu menjalankan siasatan terperinci mengenainya. Siasatan ini termasuklah untuk mengesahkan bahawa bahan itu dadah atau bukan, dengan menghantar bahan itu ke makmal.

"Hanya selepas mendapat keputusan ujian makmal, barulah kita akan menjurus kepada siasatan lain termasuk bagaimana bahan itu berada bersamanya, termasuk unsur sabotaj," katanya.

Menurut Roslan, tidak timbul isu bahawa polis akan menghentikan siasatan berdasarkan dakwaan pelakon itu yang menyatakan dia disabotaj.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang pelakon wanita popular ditahan polis selepas disyaki memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Erimin 5 di dalam beg tangan miliknya.

Dadah itu ditemui apabila pelakon jelita berusia 26 tahun itu dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, jam 11.45 pagi, semalam.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis malam semalam, selepas keterangannya diambil. Sumber: Harian Metro