Peguam Negara Sembunyi Bukti Salah Laku 1MDB - Tun M


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan akan menggugurkan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali dari kedudukannya.

Mahathir mendakwa Apandi menyembunyikan bukti-bukti salah laku.

“Kita kena tengok nak lantik siapa sebagai peguam negara. Buat masa ini, peguam negara telah menjatuhkan kewibawaannya sendiri.

“Dia, malah, menyembunyikan bukti salah laku dan ini salah di sisi undang-undang,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan skandal 1MDB, yang menjatuhkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dari tampuk kuasa.

Pada Januari 2016, Apandi membersihkan Najib dari sebarang salah laku berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Siasatan antarabangsa mendakwa wang itu sebenarnya berpunca dari 1MDB. Najib mendakwa ia “derma” dari keluarga diraja Arab Saudi dan menafikan sebarang salah laku. - Malaysiakini