Pakatan Harapan Dan PAS Bergabung Di Kedah Dan Perak?


PAKATAN Harapan (PH) dijangka membentuk kerjasama dengan PAS bagi membolehkan pembentukan kerajaan di Kedah dan Perak dengan majoriti mudah.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, langkah itu dilihat lebih strategik dalam memastikan proses pembentukan kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu, berjalan lancar.

Katanya, jangkaan kerjasama antara PH dan PAS itu juga berdasarkan ‘mood’ rakyat dalam PRU-14 yang menyaksikan kecenderungan pengundi terarah kepada menolak Barisan Nasional (BN).

“Saya menjangkakan PH yang akan menubuhkan kerajaan negeri di Kedah dan Perak dengan kerjasama PAS.

“Apabila berlaku keadaan tergantung ini, kebiasaannya parti yang mempunyai bilangan kerusi paling besar akan mendapatkan sokongan daripada parti lain bagi mendapatkan jumlah majoriti mudah.

“Namun, jika timbul situasi ‘terkunci’ iaitu tidak ada parti berjaya menyelesaikan masalah melalui rundingan dalam tempoh yang lama, Sultan boleh melantik mana-mana pemimpin yang mempunyai sokongan majoriti.

“Tapi dalam situasi begitu, akan wujud ‘kerajaan minoriti’. Mereka boleh mentadbir, cuma berisiko apabila timbul usul tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau meluluskan usul, undang-undang atau belanjawan, tetapi tiada masalah jalankan pentadbiran,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ketika ini, tiada mana-mana parti di Perak dapat membentuk kerajaan negeri apabila BN hanya memenangi 27 kerusi, PKR menang 29 kerusi manakala PAS tiga kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi DUN.

Situasi sama berlaku di Kedah apabila PKR menang 18 kerusi, PAS menang 15 kerusi dan BN memperoleh tiga kerusi.

Muhammad Fathi berkata, usaha untuk menjalinkan kerjasama antara parti juga boleh dijalinkan selepas pelantikan Menteri Besar.

“Jika berjaya mendapatkan jumlah mencukupi daripada parti lain, parti dengan majoriti tertinggi perlu mendapatkan surat perakuan sokongan daripada wakil rakyat berkenaan dan mengemukakannya kepada Sultan bagi menunjukkan mereka dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

“Jika tak berjaya, maka parti kedua dengan undian terbesar boleh juga mendapatkan sokongan parti lain, dengan syarat mencapai majoriti mudah.

“Tidak ada tempoh tertentu ditetapkan bagi proses ini, namun seminggu sudah dikira lama. Kerajaan negeri perlu dibentuk hari ini atau esok, atau Sultan perlu membuat keputusan berdasarkan kepentingan rakyat bagi mengelakkan wujud kekosongan kerajaan jika lebih tempoh itu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Fathi turut tidak menolak kemungkinan berlaku situasi ‘lompat parti’ jika kerajaan negeri dibentuk dengan majoriti yang sedikit.

“Ia pernah berlaku di Sabah dan Perak. Undang-undang sedia ada tak menghalang untuk lompat parti kerana dikira sebagai hak asasi dan kebebasan untuk berpersatuan,” katanya. Sumber: Harian Metro