Nasib Baik Polis Dan Bombo Datang Cepat.


Serian: Khidmat pasukan bomba dan penyelamat terpaksa dipanggil untuk menyelamatkan seorang wanita yang mengugut mahu membunuh diri dalam sebuah bilik di rumah keluarganya, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Kampung Hilir di sini, wanita berusia 53 tahun itu dikatakan berkurung di dalam bilik selepas berlaku perselisihan faham dengan ahli keluarganya.

Wanita terbabit mengugut untuk membunuh diri menyebabkan ahli keluarganya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), JBPM Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 9.58 pagi.

“Pada mulanya ahli keluarga dan pasukan penyelamat cuba memujuk wanita terbabit namun dia enggan membuka pintu.

“Selepas berbincang dengan keluarganya serta anggota polis, bomba memecahkan pintu bilik itu,” katanya.

Jurucakap itu berkata, wanita terbabit berjaya dibawa keluar dengan kesan kecederaan di lengan kirinya.

“Anggota paramedik memberi rawatan awal sebelum menghantar wanita itu ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut,” katanya. Harian Metro