Ketua Umno Bahagian Jelebu Desak Najib Undur.


KETUA UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengosongkan jawatan untuk memperbaharui parti.

Beliau turut mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan meletakkan jawatan kerana didakwa sebagai punca kekalahan parti itu di negeri itu.

Menurutnya, faktor peribadi Najib menyebabkan BN tewas buat kali pertama di peringkat pusat selepas 61 tahun mentadbir negara.

“Begitu juga di Negeri Sembilan, Tok Mat (Mohamad) adalah punca BN tewas. Selama ini BN tidak pernah jatuh kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya ditemui pada pertemuan bersama Ketua UMNO Bahagian lain di Alson Klana di Seremban, hari ini.
 

Jalaluddin berkata, dua pemimpin itu perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan parti yang menyebabkan UMNO dan BN hilang kuasa.

“Mereka adalah ketua dan perlu mengosongkan semua jawatan.

“Kita memerlukan muka baru yang lebih berwibawa dan mampu menarik sokongan,”" katanya.

Jalaluddin berkata, parti Melayu terbesar di negara ini perlukan transformasi untuk menarik semula keyakinan pengundi.

Beliau berkata, selama ini BN banyak berjasa kepada negara khususnya orang Melayu dan disebabkan kepimpinan yang teruk, habis tergadai semuanya.

Jalaluddin adalah Ketua UMNO Bahagian yang pertama mendesak peletakan jawatan Najib dan Mohamad selepas kecewa kekalahan BN dalam PRU-14. Sumber: Harian Metro