Kerjasama Pas Dan BN Tak Pelik.


KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata adalah ‘sesuatu yang tidak pelik’ jika Pas bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan campuran pada PRU14.

Bagaimanapun, kata beliau BN perlu memenuhi beberapa syarat sebelum kerjasama itu boleh dilaksanakan.

"Memang tidak pelik jika Pas bekerjasama dengan BN tetapi perlu mengikut syarat kita," katanya selepas majlis ceramah bersama calon Pas kawasan Parlimen Titiwangsa Mohamad Noor Mohamad, di sini hari ini,

“Terpulang kepada BN untuk bersetuju atau tidak tetapi kami akan kemukakan syaratnya nanti,” katanya.

Abdul Hadi yang juga calon Pas Parlimen Marang bagaimanapun enggan mendedahkan syarat itu apabila ditanya pemberita.

Beliau berkata, langkah menjalin kerjasama itu dizahirkan daripada keyakinan Pas untuk memenangi sekurang-kurangnya 60 atau lebih daripada 160 kerusi yang ditandingi parti tersebut dalam PRU14 ini.

“Kami harap untuk dapat ‘simple majority’ (majoriti mudah). Kalau dapat lebih, lagi bagus, boleh jadi 'kingmaker' (dalang politik) dan pihak lain boleh dengar syarat kami jika ingin jalin kerjasama,” katanya.

Selepas 36 tahun atau lapan penggal, Abdul Hadi melepaskan legasinya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang dan hanya bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada PRU14 ini.

Beliau akan ditentang calon BN Mohamad Nor Endot dan tokoh baharu Amanah yang akan bertanding menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Zarawi Sulong. - Bernama