Gara-Gara Sokong Tun Dr Mahathir, Fathia Latiff Pernah Alami Kemurungan


Pelakon yang dahulu sering menimbulkan kontroversi iaitu Fathia Latiff atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff, 30, yang juga merupakan kelahiran Pulau Pinang ini dikatakan antara artis yang paling lantang bersuara mengenai isu politik.

Namun baru-baru ini dia dilihat tampil mendedahkan bahawa dia pernah mengalami kemurungan yang teruk akibat dikecam hebat dan dicaci oleh netizen gara-gara menyokong Tun Dr Mahathir.

Kejadian itu bermula apabila pelakon terbabit dikatakan seringkali memuat naik status di laman media sosial mengenai sokongannya terhadap Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir pada sebelum ini.

Jelasnya, "saya bersyukur apabila keperitan yang dilalui sudah berakhir dan berharap tiada sesiapa yang akan melalui pengalaman yang sama."

"Saya pernah alami kemurungan yang teruk sebab bukan seorang dua yang hentam tapi beribu-ribu orang. Ketika itu saya tidak faham apa salah saya.

"Luahan saya di laman sosial itu disebabkan terlalu kagum dan minat dengan Tun Mahathir. Saya tidak berniat untuk memasuki dunia politik pun," kata Fathia.

Tambah pelakon itu, dia percaya bahawa semua perkara yang terjadi ada sebab dan musababnya.

"Saya percaya semua yang terjadi ada hikmah dan alhamdulillah, Allah membantu dan keluarga pun beri sokongan.

"Saya berharap dan berdoa agar tidak ada sesiapa yang akan lalui keperitan seperti saya," jelasnya lagi. Sumber: Mstar Editor: AA