Empat Lagi ADUN Barisan Nasional Sokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal


Empat lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menemui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kediamannya di Luyang dekat Kota Kinabalu hari ini bagi menyatakan sokongan mereka kepada beliau dan kerajaan pimpinannya.

Mohd Shafie berkata empat ADUN itu ialah Datuk Bolkiah Ismail (Pitas) dan Datuk James Ratib (Sugut) daripada Umno, Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) daripada Upko.

“Kehadiran mereka hanya memberi sokongan kepada saya, dan saya tidak menolak sokongan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, hari ini.

Semalam, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-15 di Istana Negeri, sekali gus menggantikan kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pimpinan Tan Sri Musa Aman dalam tempoh 48 jam selepas hilang majoriti mudah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu lalu, WARISAN memperoleh 21 kerusi DUN, manakala rakan-rakan WARISAN dari Pakatan Harapan (HARAPAN) iaitu DAP memperolehi enam kerusi dan PKR dua kerusi.

Namun tindakan enam ADUN BN yang menyatakan sokongan dan menyertai WARISAN, membolehkan WARISAN membentuk kerajaan apabila berjaya mendapat majoriti mudah dengan memperoleh 35 kerusi DUN.- Bernama