Dr M Bersiap Ke Istana Negara Mengadap Agong Jam 5 Petang Ini


PRU14 | Debaran mengenai status kerajaan serta perdana menteri ketujuh bakal berakhir petang ini.

Agensi berita Reuters melaporkan Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhamad V di Istana negara pada jam 5 petang nanti.

Calon perdana menteri itu akan ditemani pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Memetik kenyataan Setiausaha HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah Reuters melaporkan empat pemimpin tertinggi PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU akan mengiringi Dr Mahathir.

Walaupun tidak dinamakan, dipercayai mereka ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Terdahulu Bernama melaporkan tiada upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri diadakan di Istana Negara hari ini.

Sumber daripada Istana Negara memberitahu Bernama upacara itu tidak akan diadakan pada hari ini seperti yang ditular di media sosial.

Beliau berkata pihak Istana Negara akan memaklumkan sekiranya sudah memperoleh maklumat terkini mengenai majlis berkenaan.

“Memang hari ini belum ada majlis mengangkat sumpah lagi. Jika ada info selepas ini pihak istana akan maklumkan.

“Setakat ini tiada maklumat bila (ia akan diadakan). Pastinya bukan hari ini, malam ini pun bukan,” kata sumber berkenaan.

Sekumpulan anggota media tempatan dan antarabangsa serta beberapa penyokong kerajaan Pakatan Harapan menunggu di luar kawasan berhampiran Istana Negara sejak pukul 8 pagi tadi.

Menerusi maklumat yang diterima sebelum ini daripada beberapa sumber, Tun Dr Mahathir Mohamad, 92, dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh susulan kejayaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 semalam.

Pakatan Harapan, gabungan empat parti politik pembangkang diketuai Dr Mahathir menang besar pada pilihan raya kali ini, menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Dr Mahathir juga merupakan perdana menteri keempat dan merupakan orang yang sama mengetuai kejayaan BN dalam pilihan raya umum lima penggal berturut-turut dari 1982 hingga 1999. - Malaysiakini