Pesawat Disabotaj 'Ada Pihak Mahu Saya Mati' - Dr Mahathir


Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada pihak yang mahu melihatnya terkorban dalam nahas pesawat. 

Tun Mahathir mendakwa pesawat yang disabotaj itu akan ke Langkawi untuk berkempen sekali gus menggagalkannya untuk ke majlis penamaan calon pada Sabtu.

Menurut laporan Astro AWANI, Tun Mahathir menegaskan, dia dimaklumkan pesawat yang akan dinaikinya terpaksa ditangguhkan kerana mengalami kebocoran yang teruk dan tidak dapat dibaiki dalam tempoh yang singkat.

"Saya sepatutnya sampai awal di Langkawi, sebelum solat Jumaat tapi ada kapal terbang yang saya naik rosak, nasib baik juruterbang dapat kesan awal jika tidak mungkin saya meninggal dunia akibat nahas.

"Kemudian saya cuba minta pinjam pesawat kawan-kawan namun mereka tidak dapat meminjamkan kepada saya kerana telah dihalang pihak tertentu, tetapi syukurlah ada seorang rakan yang sudi pinjamkan pesawatnya, dapatlah saya sampai ke Langkawi untuk majlis ini dan penamaan calon esok," dakwanya semasa sidang media selepas Majlis Perjumpaan dan Minum Petang Bersama Wanita Cina dan India Pakatan Harapan di sini hari ini.

Dr Mahathir akan menjadi calon Parlimen Langkawi pada PRU14.

Beliau dijadual ke pusat penamaan calon pada pukul 8.45 pagi Sabtu.

Kerusi Langkawi disandang Datuk Nawawi Ahmad, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Sementara itu di dalam ucapannya, Dr Mahathir memberitahu akan membawa semula kemajuan yang tertangguh di Langkawi selepas tidak lagi menjadi perdana menteri pada 2003.

Paling penting jelasnya, ia akan menjadi kenyataan selepas menang dan menjadi perdana menteri semula untuk Pakatan Harapan. - Astro AWANI