Masalah Rumahtangga, Suami Amuk Cederakan Isteri Dan Anak Dengan Parang


LABUAN: Dalam insiden lebih tiga jam bermula 3 petang, suspek yang mengamuk berlari berhampiran Pusat Koreksional Labuan, bertentangan Taman Mahkota Impian, Jalan Bukit Timbalai di sini, dipercayai bertindak demikian kerana menghadapi masalah rumah tangga.

Seorang wanita dan anak lelakinya mengalami kecederaan pada bahagian bahu dan tangan selepas dilibas dengan parang oleh suaminya yang mengamuk, pada Ahad.

Suspek yang bertugas di Pusat Koreksional Labuan, turut mengalami kecederaan selepas menetak lehernya dengan senjata itu.

Lelaki itu juga turut dilihat bertengkar dengan beberapa orang dipercayai rakan pekerjanya yang cuba menenangkannya.

Wartawan Bernama yang berada di lokasi kejadian, menyaksikan suspek beberapa kali meletakkan parang itu di perutnya dan mengugut mahu membunuh diri.

Rakan sekerja dan penduduk di Taman Mahkota Impian bimbang untuk menghampiri suspek kerana khuatir lelaki itu akan membunuh dirinya.

Ambulans dari Labuan Nucleus Hospital dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dipanggil untuk membantu.

Isteri mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian bahu dibawa keluar dari semak berhampiran dan dibawa ke Hospital Labuan dengan ambulans manakala anak lelakinya yang cedera ringan pada bahagian tangan, turut dirawat di hospital sama.

Sekumpulan anggota polis dari Balai Polis Bebuloh, Balai Polis Daerah Labuan diketuai Ketuanya, Supt Mohamad Farid Ahmad dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Labuan DSP Boniface Anak Bajai yang bergegas ke tempat kejadian cuba menenangkan suspek bagaimanapun dia semakin agresif.

Bagaimanapun, dia akhirnya setuju untuk memandu keretanya sendiri ke balai polis untuk menyerah diri pada 6 petang. Sumber: Bernama – Editor: Adi