Kanggaru Di Zoo Mati Dibaling Batu-Bata Oleh Pengunjung


SHANGHAI: Seekor kanggaru terbunuh manakala satu lagi cedera apabila beberapa orang pengunjung di sebuah zoo di China membaling batu-bata ke arah haiwan itu semata-mata untuk mendapatkan perhatian.

Kanggaru betina yang berusia 12 tahun itu kini mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki kerana dilempar batu-bata dan bongkah konkrit pada 28 Februari lalu di Zoo Fuzhou di wilayah Fujian.

China Central Televisyen melaporkan, kanggaru itu disahkan mati beberapa hari kemudian oleh doktor haiwan yang merawatnya.

Jelasnya, punca kematian adalah disebabkan buah pinggang haiwan marsupial itu rosak selepas dihentam objek-objek yang dilemparkan terhadapnya.

Beberapa minggu kemudian selepas kejadi itu, seekor lagi kanggaru jantan berusia 5 tahun di zoo yang sama juga mengalami kecederaan akibat perbuatan yang sama.

Setiap kali ada pengunjung di zoo berkenaan mesti sering mengacah haiwan asal Australia tersebut supaya ia bereaksi dengan cara melompatnya tesendiri.

Setakat ini tidak dilaporkan sama ada pelaku kepada insiden itu sudah ditangkap atau dihukum kerana tidak dapat pasti siapa punya angkara semua ini.

Pihak zoo memberitahu, bangkai kanggaru berkenaan akan diawet dan dipamerkan semula di zoo berkenaan, selain pihak pengurusan berjanji memasang kamera keselamatan bagi memastikan pengunjung tidak mengancam haiwan-haiwan di situ lagi.

Tempat - tempat seperti zoo dan taman hidupan liar di China sering menjadi lokasi perbuatan manusia yang tidak beretika dan tiada belas kasihan.

Ini termasuk cara haiwan-haiwan itu dikurung dan dijaga mahupun tindakan pengunjung yang melampau.

Sebelum ini, pengunjung di salah sebuah zoo lain merasa ketakutan apabila menyaksikan sekumpulan harimau menyerang dan membunuh seekor keldai yang sengaja dilepaskan oleh pelabur.

Pelabur itu berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan hal ehwal perniagaan di zoo tersebut.

Manakala beberapa bulan lalu pula, seorang pengunjung zoo di Ningbo, selatan Shanghai, maut selepas dibaham harimau di dalam sebuah kandang yang diceroboh masuk. - Editor: pe'ah