Cikgu Wanita Cedera Lelaki Samun Dalam Kelas Ketika Sedang Mengajar.


PUCHONG - SEORANG guru wanita mengajar di salah sebuah sekolah kebangsaan cedera ringan selepas disamun ketika sedang mengajar di Puchong Indah, Puchong, petang semalam.

Dalam kejadian 5.20 petang itu, guru yang berusia 30 tahun terbabit dilaporkan sedang duduk di mejanya selepas meminta lebih 40 orang pelajarnya menyalin satu nota tugasan yang diberi.

Pada masa sama, suspek lelaki yang memakai topi keledar warna merah berpenutup muka masuk ke dalam kelas sambil membawa sekeping kertas serta berpura-pura menanyakan lokasi kelas lain kepada guru tersebut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal yang dijalankan mendapati suspek memasuki sekolah melalui pintu belakang yang terbuka dan tidak dikawal sebelum menuju ke kelas berkenaan yang terletak di hujung blok sekolah.

"Kita tidak menolak kemungkinan faktor kedudukan kelas yang terletak di hujung blok serta berhampiran pintu belakang menyebabkan suspek menjadikannya sebagai sasaran.

"Selain itu, pada masa kejadian, terdapat dua pengawal keselamatan berada dalam kawasan sekolah berkenaan, namun siasatan lanjut sedang dilakukan," katanya.

Hasil pemeriksaan, kerugian yang dialami adalah wang tunai RM100, kad pengenalan, lesen memandu, kad pengeluaran wang (ATM), dua telefon bimbit serta kunci rumah dan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, sebaik mangsa hendak menunjukkan lokasi kelas yang ditanya, suspek terus menarik beg tangan mangsa di atas meja.

"Mangsa terus berusaha menarik kembali beg tangannya, namun suspek terus merentap beg berkenaan sebelum melarikan diri.

"Ekoran dari itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan pada lutut kanannya," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun. Sumber: Harian Metro - Editor: pe'ah