Barah Peti Suara Boleh Menjadikan Kita Bisu



PAKAR Bedah Jabatan Otorhinolaryngologi (Telinga, Hidung dan Tekak), Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Prof Datuk Dr Abdullah Sani Mohamed, berkata gabungan merokok dan minuman keras akan mempertingkatkan lagi risiko untuk diserang barah peti suara.

Perokok dan mereka yang gemar minum minuman keras perlu menghentikan tabiat kurang sihat itu kerana berisiko tinggi menjadi 'bisu' akibat serangan barah peti suara.


Lebih menyedihkan, pesakit perlu berbelanja sehingga RM1,500 untuk membeli peti suara tiruan bagi membolehkan mereka bercakap seperti biasa.



Peti suara tiruan yang diletakkan menerusi pembedahan berasingan selepas pembedahan pembuangan peti suara, hanya boleh bertahan antara enam bulan sehingga dua tahun dan perlu diganti dengan yang baru. Ia bukan jaminan suara pesakit kembali seperti biasa, sebaliknya suara yang dihasilkan seakan bunyi angin atau berbisik apabila bercakap.




"Beberapa tahun kajian dijalankan, mendapati kaum Cina paling ramai mengalami barah peti suara kerana gabungan rokok dan arak. Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari mereka diserang barah peti suara kerana ia tidak menyebabkan sakit tekak," katanya yang ditemui selepas menjalankan pembedahan meletakkan peti suara tiruan ke atas seorang pesakit di HCTM PPUKM, baru-baru ini.


Dr Abdullah berkata, penyakit berkenaan mudah dikesan dan dirawat kerana petanda yang didapati adalah suara berubah menjadi garau.



Sekiranya suara masih garau selepas dua minggu, pesakit dinasihati berjumpa pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) kerana kebanyakan doktor lain tidak boleh melihat peti suara.



Pakar ENT akan menggunakan sejenis alat khas dikenali sebagai endoskop yang boleh menyuluh tekak dan mengambil gambar peti suara dengan jelas.





Pakar Bedah Kepala dan Leher, Jabatan Otorhinolaryngologi HCTM PPUKM, Dr Mawaddah Azman, berkata pesakit bukan saja tidak boleh bercakap selepas peti suara dibuang tetapi juga kehilangan deria bau dan rasa. Ini disebabkan salur pernafasan berubah daripada hidung kepada lubang yang ditebuk pada leher selepas pembedahan pembuangan peti suara.

"Ramai pesakit yang membuat pemeriksaan di klinik biasa tidak pulih kerana doktor tidak dapat melihat peti suara secara kasar dan mengesan barah.


"Satu lagi kesilapan adalah menganggap penyakit barah akan menyebabkan sakit tekak dan seterusnya tidak mendapatkan rawatan sehingga sel barah menular dan sukar dirawat," katanya yang menggesa orang ramai mengubah tanggapan berkenaan.


"Pesakit terpaksa bernafas melalui lubang berkenaan dan kurang nikmat merasai keenakan makanan melainkan makanan dihidangkan ditambah dengan perisa rempah yang sesuai. Mereka juga tidak boleh menghidu sebarang bau kerana hidung tidak lagi berfungsi melembabkan udara," katanya.


Paru-paru pesakit juga terdedah kepada risiko jangkitan kuman kerana tiada lagi tapisan ke atas udara yang disedut.



Selepas pembedahan peti suara palsu, pesakit perlu menjalani terapi pertuturan menggunakan kaedah melencongkan udara daripada paru-paru, masuk ke salur makanan supaya lidah dan bibir boleh mengeluarkan suara.



Pesakit perlu menutup lubang pada leher dengan tangan bagi membolehkan mereka bercakap tanpa menggunakan peti suara palsu. Peti suara palsu mempunyai kelebihan berbanding alat bantu pertuturan lain seperti elektro larynx kerana percakapan pesakit boleh difahami.



"Satu lagi teknik bercakap adalah pertuturan easophagus yang menggunakan kaedah menelan udara dan mengeluarkannya untuk bercakap. Bagaimanapun, pesakit perlu menjalani terapi untuk menggunakan teknik yang berasal dari Jepun ini selama enam bulan," katanya yang turut menyertai pembedahan meletakkan peti suara tiruan itu.


Pembedahan membabitkan tiga pesakit secara berasingan dengan satu jam bagi setiap pesakit itu turut disertai Prof Madya Dr Mohd Razif Mohammad Yunus serta Prof Madya dan Pakar Perunding Kepala dan Leher, Dr Marina Mat Baki dari jabatan sama.



Sementara itu, pesakit, Khoo Kim Soon, 45, berkata beliau mengalami kesukaran menelan air liur dan suaranya berubah menjadi garau selama tiga bulan sebelum disahkan mengalami barah peti suara.



Katanya doktor yang ditemui di klinik am hanya memberikan antibiotik tetapi masalah dihadapinya tidak selesai.



"Saya terkejut kerana tidak pernah terfikir akan mengalami barah tahap tiga selepas dimaklumkan pakar ENT. Lebih memeranjatkan apabila dimaklumkan peti suara saya perlu dibuang tetapi terpaksa akur kerana tidak mahu barah merebak walaupun tidak boleh bercakap lagi," katanya yang cuba bercakap walaupun suaranya hampir tidak didengari dan terpaksa menggunakan isyarat tangan.



Kim Soon yang menghisap rokok sejak berusia 14 tahun mengakui kurang minum minuman keras tetapi boleh menghabiskan 20 batang rokok sehari, menjalani pembedahan pada Oktober tahun lalu.

Bapa tiga anak itu menjalani 30 rawatan radioterapi dengan lima kali setiap minggu di HCTM PPUKM.

Katanya tanpa suara, kehidupan seharian yang dilalui terjejas teruk kerana sukar berkomunikasi dengan keluarga dan pelanggan yang membeli ikan di gerainya di Klang sehingga terpaksa menulis apa yang ingin disuarakan.

"Sekarang makan pun tidak sedap macam dulu kerana tidak ada sebarang rasa dan hanya makan makanan lembut. Saya berharap selepas pembedahan meletakkan peti suara palsu ini, hidup saya akan kembali normal walaupun tidak pulih sepenuhnya," katanya yang kelihatan tenang sebelum memasuki dewan pembedahan. - Editor: Azrai