Kanak-Kanak Maut Dirempuh Kereta


TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Waja ketika sedang menaiki basikal di kilometer 16 Jalan Teluk Intan, tengahari semalam.

Kejadian tersebut dianggarkan berlaku sekitar jam 12 tengahari di mana murid Pra Sekolah Kebangsaan Permatang Pelandok, Teluk Intan, iaitu Muhammad Aqil Wafiy Mohd Yusof,6, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar menyatakan bahawa pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian ini pada sekitar jam12.15 tengahari.

"Kanak-kanak terbabit dipercayai dilanggar lari kenderaan yang dipandu oleh orang yang tidak dikenal pasti."

"Basikal dan kereta terbabit dipercayai dari arah yang sama iaitu Kampung Gajah menghala ke Teluk Intan," katanya.

Berdasarkan keterangan seorang saksi, dia mendakwa kanak-kanak terbabit dilanggar oleh sebuah kereta Proton Waja berwarna hijau, namun nombor pendaftaran kereta berkenaan tidak dapat dipastikan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian serta basikal dinaikinya mengalami kerosakan rim hadapan tercabut, rim belakang bengkok serta badan basikal turut bengkok."

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Siasatan lanjut mengenai kemalangan ini masih dijalankan dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha untuk mengesan pemandu kereta yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu juga sedang giat dijalankan. Sumber: Kemalangan Extreme, Editor: Maya