Datin Rozita Gagal Hadirkan Diri Di Mahkamah


SHAH ALAM: Datin Rozita Mohamad Ali iaitu individu yang didakwa telah mencederakan pekerjanya dua tahun yang lalu gagal menghadirkan diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Sehubungan dengan kehilangan tertuduh, pihak mahkamah telah memberikan tempoh selama seminggu bagi mengesan kedudukan suspek.

Perintah itu telah dikeluarkan oleh Hakim Datuk Seri Tun Abd Majid Datuk Tun Hamzah kepada pihak pendakwaan.

Dalam pada itu, tertuduh gagal untuk munculkan diri di mahkamah hari ini bagi mendengar permohonan semakan semula hukuman yang bakal dikenakan kepadanya.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Iskandar Ahmad, pihaknya cuba mencari dan mengesan keberadaan Rozita di beberapa lokasi sejak semalam bagi menyerahkan notis untuk hadir ke mahkamah namun usaha yang mereka lakukan itu gagal.

Sehubungan dengan itu, pihak mahkamah telah menetapkan kes disebut semula pada 29 Mac ini dan berharap agar Rozita turut muncul ketika sesi tersebut berlangsung.

Terdahulu, pada 15 Mac, Mahkamah Seksyen Petaling Jaya telah mengenakan bon untuk berkelakuan baik selama lima tahun terhadap Rozita.

Bon itu dikenakan di atas pertuduhan mencederakan pembantunya selain diminta turut membayar jaminan sebanyak RM20,000 melalui seorang penjamin.

Dalam pada itu, Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar turut memerintahkan sedemikian selepas tertuduh menukar pengakuan bersalahnya.

Rozita yang merupakan suri rumah tangga itu sebelum ini dikatakan bakal berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi pertuduhan asal.

Ini kerana tertuduh dipercayai telah melakukan cubaan membunuh namun pihak pendakwaan telah menawarkannya dengan pertuduhan pindaan iaitu menyebabkan cedera parah bukannya membunuh.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut, pelbagai pihak telah menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap perkara ini termasuk Pejabat Peguam Negara di mana mereka juga turut memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Dalam pada masa yang sama, lebih 50,000 individu telah menandatangani petisyen menerusi laman sesawang Change.org.

Petisyen itu dijalankan dengan kerjasama semua pihak bagi menuntut hukuman yang adil dan saksama dikenakan terhadap Rozita dan turut meminta agar keadilan dapat ditegakkan tanpa mengira pangkat dan harta.

Pada 21 Disember dua tahun lalu, Suyanti iaitu pembantu kepada Rozita telah ditemui terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang oleh pengawal keselamatan kerana didera oleh majikannya itu. Sumber: Berita Harian, Editor: Maya