Disebalik Kisah Pilu Ayah Bawa Anak Main Dalam Kubur.

Tiada yang lebih menyedihkan bagi seorang bapa apabila dia terpaksa berserah dengan nasib yang bakal menimpa anaknya
Detik-detik ayah dan anak bersama dalam kubur
Beijing – Tiada yang lebih menyedihkan bagi seorang bapa apabila dia terpaksa berserah dengan nasib yang bakal menimpa anaknya itu apabila dia tidak mampu lagi untuk meneruskan rawatan bagi penyakit yang dihidapi oleh anaknya.

Kekecewaan tersebut di atasi dengan cara yang paling pelik dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana bapa di dunia ini.

Dia telah membawa anaknya itu bermain di kawasan kubur pada setiap hari sebagai salah satu persediaan baginya sekiranya anaknya itu meninggal dunia kelak.

Menurut laporan daripada Harian Metro, kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Zhang Xin Lei berusia dua tahun telah disahkan menghidap penyakit talassemia ketika dia baru sahaja berusia dua bulan.

Ibu bapa Xin Lei telah membelanjakan wang lebih dari RM60,500 untuk menampung kos rawatan anaknya itu sehinggakan mereka telah kehabisan duit.

Bapa Xin Lei iaitu Zhang Liyong menyedari hakikat bahawa mereka tidak dapat berbuat apa-apa lagi untuk anak kesayangan mereka itu dan membuat keputusan untuk bersedia menerima takdir bahawa dia akan kehilangan anaknya itu.

"Hanya ini sahaja pilihan yang saya ada kerana disinilah anak saya ini akan bersemadi selama-lamanya dan apa yang saya mampu kini hanyalah membawanya bermain di sini pada setiap hari kerana akan datang saya akan ke kuburnya pada setiap hari untuk menemaninya," katanya.

Liyong dikatakan akan membawa anaknya itu masuk ke dalam kubur yang telah siap digali untuk bermain bersamanya serta akan turut memeluk erat anaknya.

Ibu kepada kanak-kanak tersebut Deng Min yang kini sedang sarat mengandung hanya mampu melihat dua beranak tersebut dari tepi tebing kubur terbabit dengan perasaan yang sebak.

Mereka telah berusaha sehabis mungkin untuk Xin Lei sehinggakan mereka sanggup menjual semua harta benda mereka dan mereka telah meminjam duit daripada keluarga serta rakan-rakan sehingga mereka kehabisan dana.

Xin Lei dikatakan menghidap talassemia yang cukup teruk, talassemia merupakan sejenis penyakit keturunan yang akan menjejaskan kandungan oksigen dalam darah dan pesakit yang menghidap penyakit ini memerlukan rawatan sepanjang hayat mereka termasuklah melakukan pemindahan darah.

Jika tidak melakukan pemantauan rapi serta rawatan susulan secara berterusan, penghidap boleh mengalami kerosakkan organ dalaman dan seterusnya membawa kepada maut.

Ibu Xin Lei mengatakan bahawa mereka tidak mampu untuk melakukan apa-apa dan hanya mampu bersedia menerima kenyataan sekiranya anaknya itu akan meninggalkannya buat selama-lamanya.