8 Gambar Tragedi Yang Mengorbankan 153 Nyawa Akibat Cuba Mengambil Minyak Dari Tangki Minyak Yang Terbalik.

Sebuah trak tangki minyak yang sarat dengan muatan minyak telah terbalik dan menyebabkan satu tragedi
Keadaan sekitar kejadian tragedi trak tangki minyak yang terbakar
PAKISTAN – Sebuah trak tangki minyak yang sarat dengan muatan minyak telah terbalik dan menyebabkan satu tragedi yang mengorbankan ramai orang serta beratus yang tercedera akibat daripada tragedi tersebut.

Menurut laporan yang dipetik dari Suara.TV, terdapat sekurang-kurangnya 153 orang yang maut manakala 140 orang lagi mengalami kecederaan selepas trak tersebut meletup.

Kejadian mengerikan tersebut dikatakan berlaku sehari sebelum Pakistan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri ketika semua orang sedang bergegas untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan.

Melalui gambar ketika kejadian tersebut berlaku menunjukkan api yang marak dan asap tebal menyelubungi sekitar kawasan trak bersama dengan beberapa buah kenderaan yang hangus terbakar.

Trak tangki minyak tersebut telah dikatakan mengalami kemalangan di Kota Timur Ahmedpur, 416 mil dari selatan ibu kota Islamabad.

"Seramai 140 orang mangsa yang mengalami kecederaan termasuklah 40 orang yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal," kata Mohammad Baqar yang merupakan salah seorang anggota penyelamat.

Sementara pihak tentera telah menghantar sebuah helikopter mereka untuk membawa mangsa yang cedera serta sakit ke hospital berdekatan dan mengarahkan agar mereka bersiap sedia menerima pesakit yang terlibat dalam tragedi terbabit.

Salah seorang awam yang dikenali sebagai Mohammed Salim memberitahu bahawa dia telah cuba untuk memadamkan api dengan menggunakan air yang diangkut menggunakan baldi namun usaha untuk menyelamatkan mangsa gagal kerana api terlalu marak serta bahangnya terasa begitu panas.

"Saya hanya mampu mendengar jeritan mangsa-mangsa tetapi saya tidak mampu untuk membantu mereka," luah Salim.

Abdul Malik yang merupakan pegawai polis yang mula-mula sampai di tempat kejadian mengatakan, "saya tidak pernah melihat kejadian seumpama ini seumur hidup saya, kejadian ini amat mengerikan apabila mangsa yang terperangkap dalam kebakaran terbabit menjerit meminta tolong supaya diselamatkan".

"Kami amat sedih melihat mayat yang bersepah-sepah dimerata-rata tempat serta kebanyakkan dari mangsa hanya tinggal tulang sahaja manakala yang selebihnya mengalami luka parah akibat kebakaran,"katanya.

Kebanyakkan mangsa mengalami kesan luka terbakar sebanyak 80 peratus telah di bawa ke Hospital Bahawalpur Victioria di Selatan Punjab untuk menerima rawatan.

Pihak hospital terpaksa menjalankan pemeriksaan DNA ke atas semua mangsa yang terkorban untuk mengenal pasti identiti sebenar mereka  termasuklah kanak-kanak kerana kesan terbakar yang dialami oleh mangsa terlalu parah sehinggakan menyukarkan pengecaman wajah.

Perdana Menteri, Nawaz Sharif melahirkan dukacitanya dengan kejadian yang menimpa mangsa-mangsa dan mengarahkan agar semua mangsa yang tercedera supaya diberikan rawatan yang lengkap.

Trak tangki minyak terbabit dikatakan telah hilang kawalan sebelum terbalik di sekitar 60mil di barat daya Multan yang ketika kejadian dikatakan trak terbabit dalam perjalanan dari Karachi ke Lahore, ibu kota Punjab.

Menurut Ketua Penyelamat Punjab, Rizwan Naseer mengatakan hasil daripada siasatan mereka mendapati penduduk kampung berdekatan yang mengetahui kejadian trak terbabit yang terbalik kemudian bertindak bergegas menuju ke trak terbabit.

Penduduk kampung terbabit telah mengambil minyak yang tertumpah dari trak terbabit dengan menggunakan tong minyak serta apa sahaja bekas yang ada untuk mengambil minyak terbabit.

Kebakaran tersebut dikatakan berpunca daripada salah seorang daripada mereka yang telah menyalakan rokok sehingga mengakibatkan kebakaran tersebut.

Penduduk setempat juga telah menyalah gunakan alat pembesar suara yang ada di masjid berdekatan untuk memberitahu penduduk kampung supaya bergegas untuk mengambil minyak di trak yang terbalik menyebabkan penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian dengan tong minyak masing-masing sehingga mengorbankan ramai mangsa.-The Reporter